Sebuah nukilan dari seorang sahabat, Nuhaislami.
Refleksi:
Assalamualaikum. Alhamdulillah kerana Tuhan yang Maha Esa masih lagi memberi peluang kepada diri ini untk menikmati secebis kehidupan yang penuh suka dan duka. Bersyukurlah kita ke atas nikmat-Nya itu.
Nukilan di atas ditulis oleh seorang sahabat saya yang saya kira sangat berbakat dalam menterjemahkan perasaannya melalui penulisan. Selepas saya membaca nukilan saudara Nuhaislami, saya mula berasa gerun dengan setiap bait-bait katanya. Tanpa saya sedari, saya terleka dalam menjalani kehidupan seharian di bumi ini. Lantaran sibuk dengan tugasan, saya mula alpa dalam mengingati-Nya. Kadang-kala saya lewat dan lalai dalam menjawab seruan cinta-Nya kepada saya sedangkan Al-Muhaimin tidak pernah leka dalam menyintai kita semua. Oh, malunya saya. Sudah ada yang sering melaungkan lagu cinta kepada saya, acap kali saya endah tak endah dengan kasih-sayangnya.
Jika kita hayati pada awal bicara saudara Nuhaislami, memang kita sering kali menganggap hidup kita ini tidak akan berakhir dan mungkin kita tidak pernah teringat akan jemputan yang pasti daripada malaikat maut. Entahlah. Saya sendiri terlupa akan perkara ini.
Tersentak saya dengan kata-kata saudara Nuhaislami mengenai hari kiamat. Meremang bulu roma saya apabila teringat tanda-tanda kiamat yang semakin jelas. Risau saya dengan amalan saya ini. Cukupkah bekalan saya untuk menghadap Allah? Berat atau ringankah amalan baik saya semasa dihisab? Atau mungkinkah saya akan jatuh muflis di akhirat sana? Risau sahaja tidak mencukupi. Bimbang sahaja tidak akan mampu menambah pahala buat diri. Jadi, kita semua hendaklah memulakan langkah untuk menambah pahala dan membaiki kekurangan diri.
Setakat ini sahaja bicara saya. Apa yang saya kongsikan di dalam entri ini sekadar peringatan buat diri saya dan juga anda semua. Semoga kita beroleh rahmat dan kasih-sayang-Nya.
Wallahualam
Wassalam.
Comments
Post a Comment
Jika saya ada tersilap dalam berbicara, silalah tegur saya ya? Komen anda pemberi semangat kepada saya.