Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan, Rasulullah S.A.W, keluarganya dan sahabatnya.
Assalamualaikum kepada sesiapa sahaja yang sudi membaca entri ini.
Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih memberi ruang pada diri ini untuk meneruskan sisa-sisa hidup dalam mencari cahaya-Nya dan Jannah yang menjadi idaman setiap Muslim. Dia sering membantu diri ini berkelana di bumi yang tidak lagi panjang usianya. Syukur Alhamdulillah.
Sudah lama blog saya di biar sepi tanpa coretan hati saya. Sudah bersawang dan berhabuk saya kira. Kekangan masa dan sibuk dengan aktiviti harian membataskan saya untuk menulis sesuatu di sini. Terima kasih yang tidak terhingga buat sahabat saya yang mendoakan supaya saya diberi kelapangan masa untuk terus menulis.
Alhamdulillah kerana hari ini saya mempunyai kesempatan untuk meluahkan apa yang terbuku di hati dan fikiran sepanjang tempoh saya menjadi Pegawai Teknikal untuk Kejohanan Balapan dan Padang MSSD Seremban 2011.
Selama 5 hari saya bertugas di Stadium Paroi, saya memerhatikan gelagat dan tingkah-laku para pelajar yang sama ada menyertai acara mahupun yang sekadar hadir memberi sokongan kepada atlet sekolah mereka. Saya berasa sedih dan risau dengan sikap anak-anak remaja pada masa kini. Sehinggakan hati saya terdetik, ‘Budak-budak ni tak sekolah ke? Eh, berkepit je dengan pakwe makwe diorang? Macam mana budak-budak ni bila dah besar nanti?’ dan sebagainya.
Saya juga memerhatikan cara mereka berpakaian. Bagi yang lelaki, galak memakai rantai dan bertindik di telinga. Yang perempuan pula seperti tersilap memakai pakaian adik-adik kecil mereka. Saya juga memerhatikan yang perempuan gemar memakai pakaian yang agak singkat dan tidak menutupi punggung mereka. Adakah trend masa kini? Saya pun kurang periksa kerana pelajar sekolah saya tidak begitu. Moga-moga Allah S.W.T melindungi pelajar sekolah saya daripada terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat ini.
Saya terlupa pula. Suatu ketika dahulu saya acap kali dihidangkan dengan pemandangan seperti ini semasa saya menuntut ilmu di SMKPT. Sudah pun nama sekolah di Kuala Lumpur. Faham-faham sahajalah keadaan di sana. Syukur kerana saya tidak terikut-ikut dengan budaya kuning di Kuala Lumpur. Alhamdulillah.
Mengenai isu lelaki bertindik, memakai rantai dan sebagainya mengingatkan satu hadis yang pernah saya baca. Oh ya, seorang teman saya pun ada berkongsi hadis ini dengan saya beberapa hari yang lalu kerana kami berkongsi rasa mengenai tudung bonggol unta dan bertudung seperti rahib. Fokus saya agak terganggu semasa menonton rancangan ‘Akademi AL-Quran 5- Akhir’. Saya melahirkan rasa ketidakpuasan hati saya kepadanya mengenai cara pengacara wanita rancangan tersebut bertudung.
Terjemahan: Barangsiapa meniru sesuatu kaum maka dia adalah sebahagian dari mereka
Astaghfirullah al-azim. Gentar betul hati ini. Kita gemar meniru budaya, cara berpakaian dan sebagainya daripada Barat terutamanya. Saya masih ingat lagi semasa Britney Spears mula popular di Malaysia. Bagi sesiapa yang seangkatan dengan saya, mereka pasti ingat dengan fesyen seluar jeans bawah pusat yang dibawa oleh penyanyi Barat itu. Ramai remaja perempuan mula mengikut fesyen tersebut. Saya pakai juga seluar itu tapi tidaklah dengan berbaju menampakkan pusat mahupun sendat. Saya masih sedar lagi batas-batas aurat. Sekarang ini pula, fesyen artis Korea pula menjadi kegilaan para remaja. Rata-rata meniru mereka dalam berpakaian. Baik bagi kaum Adam mahu pun kaum Hawa. Masing-masing berlumba-lumba menonjolkan diri mereka seperti artis kesayangan mereka itu.
Satu perkara lagi yang membuatkan saya berfikir semasa di Kejohanan MSSD. Mata saya yang agak teruk rabunnya menjadi begitu sakit sekali melihat pemandangan yang kurang menarik. Bertambah sakit tatkala saya melihat pelajar yang tidak cukup umur ini berkepit dengan pasangan masing-masing ke sana sini. Berdua-duaan di tempat sunyi di sekitar stadium. Jelek sungguh pemandangan yang terpaksa saya tatapi selama 5 hari di Stadium Paroi. Si perempuan seperti tiada segan silu berpukul tampar dengan si lelaki. Perangai yang saya kira kurang senonoh. Adakah saya begitu semasa bergelar pelajar sekolah menengah? Nauzubillahi min zalik.
Aduh.. saya tersangat khuatir. Jika mereka rosak akhlaknya, bagaimana dengan nasib generasi akan datang? Sedangkan mereka ini yang akan memimpin negara kita. Mungkin sebab inilah para ibu bapa berebut-rebut untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah agama. Bagi saya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menerapkan nilai-nilai Islam di kalangan anak-anak mereka. Sekolah atau lebih tepat lagi sekolah agama hanya mengukuhkan lagi nilai-nilai yang sudah ada di dalam diri mereka. Jadi, janganlah silap pula dengan meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada pihak sekolah agama untuk membina sahsiah diri dan akhlak anak mereka. Saya sungguh tidak bersetuju apabila sesetengah ibu bapa meletakkan kesalahan kepada pihak guru apabila anak mereka tidak berjaya dibentuk. Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap bayi itu lahirnya di atas fitrah, ibu bapanya(suasana pembesarannya) lah yang menjadikannya yahudi, nasrani dan majusi”
Maaf, saya mengarut lagi. Sekadar melahirkan rasa tidak senang dengan sikap segelintir ibu bapa.
Barangkali saya sendiri sudah tidak biasa lagi melihat suasana begini sejak saya bertugas di SMAN. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah kerana nikmat kurnia-Nya yang tidak terhingga buat diri ini yang terlalu sedikit bersyukur. Saya kira saya banyak berubah ke arah kebaikan sejak saya ditempatkan di sekolah ini untuk mencurah bakti yang tidak seberapa. Walaupun saya tidaklah berbakat untuk menjadi seorang guru, namun Allah S.W.T lebih tahu apa yang terbaik untuk diri saya. Mungkin kerana itu Dia memudahkan laluan saya untuk menjadi seorang pendidik. Saya menaruh harapan dan impian untuk mendidik anak-anak murid saya ke arah kebaikan. Namun, saya sendiri harus berubah dahulu. Barulah saya mampu mengubah mereka. Saya ingin menjadi ‘matahari’ buat mereka. ‘Matahari’? Mengapa saya ingin menjadi ‘matahari’ akan saya jelaskan dalam entri akan datang jika berumur panjang.
Semoga Allah S.W.T membantu dan menolong saya dalam merealisasikan impian saya. Insha Allah. Saya juga berharap Allah S.W.T akan memelihara saudara Islam di luar sana. Terlalu banyak godaan dan fitnah yang berleluasa pada masa kini.
Akhir kata, bukanlah saya hendak mengatakan yang saya ini baik dan tidak pernah melakukan dosa. Saya tetap manusia biasa yang sering melakukan khilaf. Entri ini sekadar peringatan buat diri saya yang sering terlupa dan lalai. Saya masih lagi dalam proses untuk berhijrah ke arah kebaikan dan meninggalkan segala perbuatan dosa saya dahulu. Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al- Baqarah ayat 222 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah amat mencintai mereka yang sering bertaubat dan membersihkan diri”
‘Alhamdulillah’ tidak pernah lekang dari bibir saya kerana Ar-Rahman telah memberi cahaya-Nya kepada saya. Sokongan teman-teman tidak pernah saya lupakan semasa saya di dalam keadaan keliru dan sesat mencari arah tuju hidup. Terima kasih sekali lagi.
Wasalam.
salam 'alaik
ReplyDeletejadikan bicara hatimu satu motivasi buatmu, layanlah tatkala ia berbicara, dan pastikan iman sebagai penasihatnya... iman dan hati tidak boleh dipisahkan.
jadilah seorang pendidik yang tidak pernah lupa untuk mendoakan akan anak didiknya agar menjadi mujahid dan mujahidah pembela agama... semoga menjadi guru yg disayangi oleh anak2 didiknya dan lebih2 lagi disayangi oleh PENCIPTA...teruskan menulis...
wasalam saudara tinta_mujahid.
ReplyDeleteinsha Allah saya akan berusaha untuk menjadi seorang pendidik yang mampu membimbing pelajar saya. Terasa sukar kerana saya tidaklah arif dalam bidang agama..tapi saya sampaikan apa yg saya tahu.terima kasih di atas doa saudara :)
sama2... tahukah apakah pesan guru saya yg pertama? ingat Allah selalu... Allah suka pada orang yang tidak pernah putus mengharap pada-Nya... sekadar berkongsi... insyaAllah ia akan tersemat dihati bila hati disertakan dalam setiap kata-kata @ pesanan...
ReplyDelete