Assalamualaikum dan salam sejahtera buat teman-teman di luar sana.
Pertama sekali ingin saya layangkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas kunjungan anda ke blog saya yang tidak seberapa ini. Semoga perkongsian saya yang tidak seberapa ini membuahkan sesuatu di dalam hati setiap insan yang membaca hasil nukilan saya. Walaupun tidak banyak, sedikit pun jadilah.
Sedang saya sibuk menaip untuk entry baru saya yang bertajuk “Study biar lepak, result biar gempak. Apa pendapat anda mengenai penyataan ini?” semalam, saya teringat akan satu hadis yang pernah saya baca di dalam buku “Hadis 40 Imam Nawawi” yang berkaitan dengan niat. Pada firasat saya, hadis ini agak sesuai dikaitkan dengan entry saya itu. Maaf jika ada yang merasakan ianya tidak sesuai. Itu bukan perkara pokok yang ingin saya ceritakan di sini.
Saya cuba mencari hadis ini di internet kerana terdapat kekangan. Ketiadaan perisian tulisan jawi menyukarkan saya untuk menaip hadis. Dalam usaha saya mencari hadis ini di Google, dengan takdir Allah S.W.T yang Maha Esa saya ditemukan dengan sebuah blog yang sangat menarik bagi saya. Hanya satu entry sahaja sudah cukup memaku mata saya untuk terus membaca segala isi blog ini. Sangat ringkas tetapi padat dengan pengajaran.
Saya cukup tertarik dengan satu entry yang bertajuk “Kuhadapkan Wajahku Hanya Padamu Ya Allah” hasil luahan hati saudara Tinta Mujahid. Saya rasa tersentuh dengan penulisannya. Ya, aku hadapkan wajahku hanya pada Allah Yang Maha berkuasa iaitu pemilik hati ini. Kadang-kala tidak dinafikan hati ini sering berbolak-balik dan paling menyedihkan ianya kerap berpaling daripada mengingati Pencipta diri ini. Sedikit perasaan tertarik kepada seseorang sudah cukup memalingkan hati kita daripada mengingati Allah S.W.T. Paling menakutkan perasaan itu mendekatkan diri dengan zina hati.


“Ya Allah, betapa kerdil dan hinanya diri ini. Aku hanya mencari-Mu tatkala aku dilanda musibah dan keresahan. Aku sering menjauhkan diriku daripada Mu. Ampun dan maafkan aku wahai Tuhanku. Janganlah kau palingkan hati ini daripada mengingati-Mu. Aku takut jika Kau meninggalkan diri ini terkapai-kapai keseorangan.”
Ingin saya kongsikan satu cara yang boleh kita lakukan jika sering teringat akan diri seseorang terutama sekali sesorang yang bukanlah suami atau isteri kepada diri kita. Terima saudara Tinta Mujahid di atas perkongsian ilmu saudara. Ianya sangat bermakna buat diri ini yang sering resah akan sesuatu yang ‘lagha’ dan merugikan dan mungkin berguna buat yang membaca entry ini.
Sedikit petikan daripada entry saudara Tinta Mujahid,
‘Seluruh amalan kita, mestilah dihadapkan kepada Allah swt, jangan kita sesekali berpaling dari Allah swt. Andai kita berbuat demikian umpama kita cuba untuk berkrisis dengan Allah, dan berpunca dari itulah hati kita akan terasa tidak tenang resah. Beliau berkata sungguh indahnya kalau kita dapat mengamalkan ayat ini dalam kehidupan harian kita. Beliau memberi contoh, sekiranya kamu melihat seorang perempuan dan ada berkenan sedikit padanya, katakanlah
“inni wajjahtu wajhialillazi fathorassamawatiwal ard hanifa wama anaminal musyrikin”
Klik sini untuk bacaan penuh: http://tintamujahid90.blogspot.com/2011/03/ku-hadapkan-wajahku-hanya-padamu-ya.html
Semoga kita mampu membendung diri kita daripada mendekati zina hati. Jika teringat atau merindui seseorang, cepat-cepatlah ucap kata-kata di atas. Insha Allah kita mampu melawan perasaan hasil bisikan syaitan laknatulah itu. Sama-samalah kita pulih dan baiki hati masing-masing semula.
Sedang sibuk berbicara mengenai hati, teringat pula saya pada satu lagi entry daripada saudara Tinta Mujahid yang bertajuk “Apa Khabar Keyakinanmu?”. Jikalau sahabat Rasulullah S.A.W; Saidina Abu Bakar RA dan Hanzalah RA mengatakan mereka telah munafik kerana hanya terlupa sebentar akan syurga dan neraka, apakan lagi diri ini yang sememangnya senantiasa lalai dan alpa dek kerana nikmat duniawi ini. Astagfirullah. Jahil sungguh diri ini.
Sesungguhnya saya amat bersyukur dengan anugerah daripada Allah S.W.T yang senantiasa menyayangi diri ini. Dia menganugerahkan teman yang sentiasa menyokong dan mengingatkan diri supaya tidak leka denga nikmat di dunia, menemukan saya dengan blogger yang hebat dalam berbicara tentang kehidupan dan agama dan sebagainya. Moga-moga Allah S.W.T akan senantiasa memelihara hati dan iman saya dan umat Islam yang lain serta memacu diri menuju ke Jannah yang menjadi idaman setiap Muslimin.
Akhir kata, maafkan saya jika ada tersilap kata atau mungkin entry ini menyebabkan anda berasa sakit hati dan menyampah pada saya. Tidak terniat di hati untuk menunjukkan saya ini baik dan sebagainya. Sekadar berkongsi rasa yang terbuku di hati. Maaf sekali lagi.
Kita berjumpa akan berjumpa lagi jika ada umur dan saya masih diberi kesempatan untuk bernafas di dunia yang fana ini.
Wasalam.
P/S: Lawati blog teman baru saya di http://tintamujahid90.blogspot.com . Semoga coretan beliau sampai dan terkesan dihati anda semua.
Comments
Post a Comment
Jika saya ada tersilap dalam berbicara, silalah tegur saya ya? Komen anda pemberi semangat kepada saya.