Sahabat Seperjuangan

Sunday, February 19, 2012

Cerpen: "Tolong Sayangi Kami!"


Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyapa lembut mukaku. Aku berhenti di hadapan sebuah kedai makan yang penuh dengan makhluk yang bernama manusia. Aroma wangi menusuk ke hidung. Perut aku pula semakin berbunyi kuat. Kepala aku menoleh kiri dan kanan. Baru sahaja aku mahu maju ke hadapan, aku tertolak ke belakang. Aduh, sakit sungguh badan aku.

“Hoi, menyemaklah kau kat sini! Berambus!” Lelaki separuh abad itu mengherdik kasar kepada aku. Aku bangun lagi. Perut aku mesti diisi. Tubuh kecil ini semakin lemah. Aku cuba berjalan  masuk ke dalam kedai makan itu sekali lagi. Untung-untung ada yang sudi memberi aku sedikit makanan. Kali ini aku berhati-hati agar lelaki itu tidak menyedari kehadiran aku.

Aku merayu memohon sedikit belas ihsan daripada mereka yang sedang enak menyuap makanan ke dalam mulut mereka. Semua enggan memperdulikan rayuanku. Bahkan mereka menolak aku dengan kaki mereka. Hina sungguhkah diri aku ini?

Hah. Aku mengeluh. Nampaknya tiada sesiapa yang sudi membantu aku kali ini. Dengan perasaan hampa dan kelaparan, aku bercadang untuk berlalu pergi.

Alhamdulillah! Masih ada insan yang berhati mulia. Ada seorang wanita muda berbaju kurung merah memanggil aku datang ke arahnya sambil menunjukkan makanan. Aku berlari pergi ke wanita itu. Dia memegang lembut kepala kecilku dan seekor ikan kembung goreng disua ke muka. Oh, sedapnya! Hatiku tidak semena-mena menjadi teruja. Tanpa membuang masa, ikan goreng itu aku makan dengan lahap. Sudah satu hari aku tidak menjamah apa-apa.

Aku mendongakkan kepalaku untuk melihat wanita itu. Dia tersenyum manis. Cantiknya dia. Aku bergerak ke arah wanita berkaca mata itu dan menyentuh kakinya. Kepalaku tunduk dan mencium-cium kakinya itu. Itu tanda aku berterima kasih di atas kebaikannya kepada aku yang bertubuh kecil ini. Dia menghulurkan tangan kanannya dan terus mengusap lembut kepala dan badanku. Mataku tertumpu semula ke arah ikan goreng yang lazat itu. Aku menyambung makan kembali dan meratah licin rezeki yang berada di hadapanku.

Lega. Perutku yang tadinya lapar menjadi kenyang. Aku lihat wanita itu berlalu pergi. Aku tertanya-tanya; masih ada lagikah insan sebaik itu yang tidak akan menyakiti diri aku dan sahabat-sahabatku? Entahlah. Kalau ada pun pasti tidak ramai.

Baru sahaja aku hendak melangkah keluar daripada kedai makan itu, tiba-tiba badanku melayang ke udara. Sedar-sedar sahaja aku sudah terhempas di atas jalan yang bertar hitam itu.

Ya Allah, sakitnya badan aku! Hampir sahaja aku tidak mampu untuk bangun. Badanku lemah. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang aku rasakan sekarang. Sayup-sayup telingaku mendengar suara tuan kedai makan itu menjerit dan memaki aku.

“Kucing tak sedar diri! Aku dah kata berambus, berambuslah. Habis pelanggan aku lari kerana kau! Jijik aku lihat badan kau yang penuh kurap tu! Lagi sekali aku nampak kau, aku bunuh kau!” Kali ini badanku ditendang. Tidak cukupkah aku dibaling sebentar tadi?

Mataku bergenang dengan airmata menahan kesakitan. Aku cuba bangun. Aku menjilat-jilat badanku yang sakit ini. Darah mengalir keluar daripada mulutku. Ah, ada darah pula di kaki kanan. Mungkin terseret semasa ditendang tadi. Apa dosa aku sehingga mereka sanggup buat begini?

Apakah aku bukan makhluk Allah? Manusia sering mendakwa yang mereka itu berakal dan aku dan yang lain-lain semuanya bodoh. Aku yang bodoh atau mereka yang bodoh? Kesedihan menjalar di dalam diri.

Aku berlalu pergi daripada kedai itu dengan perasaan yang sebal. Terencut-ecut aku berjalan sambil menahan perit kesakitan. Apa yang aku boleh lakukan? Aku hanya kucing jalanan. Hodoh dan busuk yang terpaksa mengemis demi sesuap nasi. Tidak seperti kucing-kucing mahal milik mereka. Cantik dan gebu.

Aku menuju ke lorong belakang  dan kakiku berhenti di suatu tempat tersorok dengan harapan tiada lagi manusia kejam akan menganggu aku. Tubuhku yang berbulu coklat keorenan dilabuhkan di atas sekeping kotak. Mataku dipejam rapat. Aku mula hanyut dalam lautan memori duka.


……………………………………………………

Pagi itu aku bangun. Ibu tiada di sisi aku.

Mana ibu ini? Aku laparlah. Aku mengiau memanggil ibu. Takutnya bila keseorangan. Aku mula hendak menangis.

Tiba-tiba aku terdengar suara ibu memanggil aku. Eh, ibu sudah balik. Gembiranya hatiku. Aku melompat keluar daripada tempat persembunyian kami berdua. Aku pantas berlari mendapatkan ibu kesayanganku.

Eh, kenapa ibu jalan terencut-encut? Muka ibu sedang menahan kesakitan. Ibu terjelepuk jatuh di hadapanku. Perasaan aku mula menjadi tidak keruan. Kenapa dengan ibu? Ibu sakitkah? Mata ibu terpejam rapat. Nafasnya naik turun dengan lemah. Aku duduk berteleku di sebelah ibu sambil menjilat-jilat muka ibu.

“Ibu, bangunlah.. Ibu.. Ibu!” Aku menangis teresak-esak. Aku menolak badan ibu. Airmata aku mengalir deras bila mendengar ibu mengerang kesakitan.

“Sayang, jangan menangis. Ibu tak ada apa-apa.” Suara lemah ibu menenangkan aku yang sedang menangis.

“Ibu…”

Aku lihat badan ibu penuh dengan darah. Besarnya luka di bahagian belakang tubuh ibu! Aku yang masih kecil ketika itu tidak memahami apa-apa.

“Ibu tiada apa-apa. Sakit sedikit sahaja. Sayang jaga diri sayang ya kalau ibu sudah tiada lagi.” Ibu mengagahkan dirinya untuk bangun. Dia menjilat mukaku dengan penuh kasih-sayang.

Ibu mengerang lagi. Kali ini lebih kuat. Nafasnya semakin lemah. Pautan tangan ibu jatuh daripada badanku. Matanya terpejam rapat dan tiada lagi nafas.

“Ibu, ibu! Bangun ibu. Jangan tinggalkan saya!” Aku menjerit dengan kuat. Ibu sudah tiada lagi di dunia ini. Sekujur tubuh kaku ibu itu aku peluk dengan erat.

……………………………………………………

Aku mengeluh perlahan bila aku teringatkan ibu. Sekarang baru aku faham kenapa badan ibu jadi begitu dahulu. Ada manusia kejam telah menzalimi ibu. Sahabat-sahabat aku juga ramai menjadi mangsa kezaliman mereka.

Beberapa hari lepas, satu kejadian yang menyayat hati telah berlaku kepada sahabat aku di hadapan mata aku sendiri. Tengahari itu aku bersama dia mencari makanan. Kami cuba mengemis dan meminta simpati daripada manusia-manusia yang sedang makan di kedai itu. Adalah juga manusia yang berhati mulia yang sanggup memberi sedikit makanan kepada aku dan sahabat aku. Setelah kenyang aku berlalu keluar daripada kedai itu. Sahabat aku masih berada di sana kerana mahu mencari makanan lagi.

Tiba-tiba, aku lihat ada seorang manusia kejam telah menarik kasar badan sahabatku. Aku kaget. Ke mana dia hendak membawa sahabatku pergi?

Tidak! Dia telah mencampak sahabat aku daripada tingkat atas kedai itu. Aku terkejut sehingga tidak mampu bergerak. Manusia-manusia lain mula mengerumuni sahabatku itu. Manusia kejam itu telah dibelasah oleh manusia-manusia lain. Aku berlari  dan menyelit di celahan kaki manusia yang sedang cuba menyelamatkan sahabatku.

Aku lihat mulutnya penuh dengan darah. Aku kira ada tulang yang patah. Ya Allah, kejamnya manusia itu! Seorang lelaki mengangkat tubuh sahabatku dan membawanya masuk ke dalam kereta. Hatiku berdoa agar sahabatku selamat.

Sehingga hari ini aku tidak ke temu lagi bersama dia. Kejadian hari itu benar-benar membuatkan aku takut dengan makhluk yang bernama manusia.

Entah apa pula nasib aku selepas ini. Masihkah ada sinar bahagia menanti aku di hadapan sana? Aku hanya mampu berdoa kepadaNya agar diri ini dan sahabat yang lain dipelihara daripada makhluk-makhluk kejam itu.

Tolonglah sayangi kami, wahai manusia!










0 comments:

Post a Comment

Jika saya ada tersilap dalam berbicara, silalah tegur saya ya? Komen anda pemberi semangat kepada saya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...