Followers

Tuesday, May 24, 2011

Misi Mencari dan Menjadi Sahabat Sejati Bermula

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan, Rasulullah S.A.W, keluarganya dan sahabatnya.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah S.W.T di atas nikmat yang dikurniakan oleh Nya. Bernafas lagi saya di dunia ini. Semoga hari ini lebih baik dari semalam hendaknya. Insha Allah.

Pernahkah anda mendengar ungkapan Bahasa Arab ini, ‘uhibbukafillah/uhibbukifillah/ uhibbukumfillah’?

Saya kira perkataan ini tidak asing bagi pelajar yang mempelajari Bahasa Arab dan pelajar sekolah agama. Pada hemat saya, mereka sering kali menggunakan ungkapan ini untuk menyatakan perasaan kasih terhadap seseorang.

Saya sendiri pertama kali berjumpa dengan ungkapan ini semasa membaca buku ‘Matahari’ beberapa bulan yang lepas.

Dalam entri yang lepas saya ada juga menyebut ungkapan ini.

Apa yang menarik sangat dengan ungkapan ini hinggakan saya sibuk bertanyakan anda? Dan apa pula maksudnya?

Baiklah. Mari saya terangkan maksud ungkapan ini. ‘Uhibbukafillah/ Uhibbukifillah/ Uhibbukumfillah’ bermaksud saya cintakan awak kerana Allah S.W.T. Maksud ini secara general sahaja ya. Kalau saya hendak terangkan perbezaan setiap satu susah juga. Kena tanya ustaz atau ustazah Bahasa Arab la ya.

Ya. Ungkapan ini amat istimewa buat diri saya kerana saya sangat ternanti-nanti siapakah yang akan menyatakan ayat ini kepada saya dengan ikhlas. Tiada sesiapa pun pernah berkatakan seperti ini kepada saya. Saya cintakan/sayangkan awak kerana Allah. Yang pasti, saya harapkan seorang sahabat yang ikhlas berkawan dengan saya menyatakannya.

‘Uhibbukifillah, ya ukhti.’

Baiklah, kali ini saya ingin berkongsikan apa yang saya perolehi dari hasil pembacaan. Saya telah membaca sebuah nukilan yang bertajuk ‘Yang Digelar Sahabat’. Hmm. Sudah pasti hasil karangan penulis kegemaran saya, Hilal Asyraf. Saya ini, tidak habis-habis dengan Hilal Asyraf. Macam obses pula ya. Bukan obses tetapi kagum. Jangan salah sangka ya.

Saya seperti disuntik suatu semangat untuk memulakan misi untuk mencari sahabat yang baik buat diri, dunia, agama dan akhirat saya setelah membaca nukilan ini.

Dalam entri sebelum ini saya ada juga berkongsikan ‘Sifat-sifat Sahabat Sejati’ dengan anda semua. Tetapi entri kali ini saya sendiri ingin menghuraikan makna sahabat mengikut pemahaman saya setelah membaca beberapa nukilan berkaitan sahabat.

Baiklah. Saya ingin tanyakan satu soalan kepada anda.

“Siapakah sahabat?”

Saya pasti bermacam-macam respons yang akan saya dengar daripada anda semua. Kalau anda lontarkan soalan ini kepada saya suatu ketika dahulu, jawapan saya pasti berbunyi begini,

‘Sahabat adalah insan yang hanya menemani kita di kala ketawa tetapi bila kita jatuh tersungkur, semua lari tinggalkan kita.’

Itu jawapan saya sebelum mengenali erti sahabat yang sebenarnya. Malang sungguh diri saya kan? Berfikiran sempit. Barangkali persekitaran saya membesar dahulu mempengaruhi saya.

Cukuplah dengan jawapan saya yang entah apa-apa itu.

Berbalik kepada soalan tadi. Saya memetik kata-kata saudara Hilal Asyraf di dalam buku motivasinya yang bertajuk ‘Fanzuru’,

‘Sahabat adalah mereka yang membawa kita mendekati Allah S.W.T.’

Satu lagi kata-kata yang menyentuh hati saya ialah,

‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.

Kata-kata ini saya petik dari blog pelajar saya, http://asyraf-soa.blogspot.com/2010/12/sifat2-sahabat-sejati.html

Cuba kita renung kembali makna sahabat. Adakah kita faham dengan perkataan ini?

Sahabat ini tidak terhad kepada sejantina dengan kita atau seseorang yang sering bersama kita. Ahli keluarga kita pun di kira sahabat juga. Asalkan seseorang itu mengajak kita ke syurga Allah, dialah sahabat.

‘Sahabat yang baik adalah sahabat yang akan memimpin kita ke syurga. Hal ini kerana, syurga adalah kemuncak bahagia. Jika dia membawa kita ke neraka, maka itu bukan sahabat namanya, kerana neraka adalah kemuncak celaka.’

(Hilal Asyraf, Fanzuru)

Berdasarkan petikan bicara saudara penulis, dapatlah saya simpulkan bahawa sahabat mampu membawa kita ke syurga atau pun neraka. Jika sahabat yang dipilih itu baik, Alhamdulillah. Jika salah? Nauzubillahi min zalik. Minta dijauhkan dari tersalah pilih sahabat.

Sahabat yang baik tidak akan pernah meninggalkan kita, baik kita dalam keadaan senang mahu pun dalam kesusahan. Sahabat macam ini saya belum jumpa lagi. Mungkin selepas ini saya akan jumpa jika diizinkan Allah S.W.T.

Sahabat yang baik juga tidak pernah lupa dalam mengingatkan kita untuk bersyukur. Ya. Saya ada seorang sahabat yang sentiasa mengingatkan saya untuk bersyukur. Contohnya, jika saya sudah kenyang dan terlupa mengucap tahmid, dialah yang akan mengingatkan saya. Alhamdulillah kerana ada sahabat begini dalam hidup saya.

Sahabat yang baik akan sentiasa mengingatkan kita untuk bersabar dan berada bersama kita, mencari jalan untuk naik ke atas.

Sahabat yang baik juga, tidak akan meninggalkan kita apabila kita jatuh ke lembah maksiat. Malah, dia adalah yang pertama menghulurkan tangan untuk menyelamatkan kita. Dia adalah yang tidak mencemuh kita dari belakang dan tidak bersangka buruk dengan kita. Sentiasa bersangka baik dan menjaga kita agar tidak terkeluar dari landasan yang Allah redhai.

Ciri-ciri sahabat yang baik ini saya perolehi dari buku Fanzuru. Menarik bukan? Adakah anda memiliki kesemua sifat-sifat sahabat yang baik? Kalau anda tanya saya, pasti jawapan saya tidak. Namun, saya sedang berusaha ke arah itu. Ke arah ‘Yang Digelar Sahabat’.

Manusia itu tidak sempurna. Dia memerlukan manusia lain untuk melengkapkan dirinya. Begitu juga kita dengan sahabat. Kita tidak sempurna, sahabat pun tidak sempurna. Kita saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Mengikut kata saudara Hilal Asyraf, carilah sahabat sebegini. Apabila kita melihat wajahnya kita menjadi tenang, gembira dan lapang. Apabila bersama mereka, rasa senang yang aneh meresap ke dalam jiwa.

Adakah saya akan menjumpai sahabat sebaik ini? Sebaik Tengku Saifullah, Tengku Atikah, Tengku Amiri dalam novel ‘Terasing’? Setabah Husna membentuk Afam dalam novel ‘Hero’? Seikhlas Ustaz Hussam membentuk ukhuwah di kalangan pemain VT dalam novel ‘VT’?

Mampukah saya menjadi seperti mereka yang sangat mementingkan uhkuwah?

Saya sendiri tidak pasti. Saya hanya mampu berdoa, berusaha dan yakin pada Allah S.W.T. Jika Dia izinkan saya bertemu dengan sahabat begini, Alhamdulillah. Moga-moga saya bertemu dengan sahabat yang baik untuk menemani saya dalam proses tarbiyah ini untuk menjadi seorang hamba yang sebenarnya.

‘Uhibbukumfillah.’

Wallahualam.

Wassalam.

4 comments:

  1. Salam ziarah. perkongsian yg baek.. beza uhibbukafillah, uhibukifillah dan uhibbukumfillah adalah yg pertama tu untuk sahabat lelaki, yg kedua tu untuk sahabat perempuan dan yg terakhir tu untuk sahabat2(plural).. hee syukran

    ReplyDelete
  2. @Anonymous
    salam kembali..terima kasih atas ziarah :)

    ReplyDelete
  3. memang benar kata kata penulis.‘Sahabat adalah insan yang hanya menemani kita di kala ketawa tetapi bila kita jatuh tersungkur, semua lari tinggalkan kita.’

    ReplyDelete
  4. @Anonymoussemoga kita berjumpa dgn shbt sejati yg bisa memimpin kita ke akhirat sana.insha allah :)

    ReplyDelete

Jika saya ada tersilap dalam berbicara, silalah tegur saya ya? Komen anda pemberi semangat kepada saya.

Baca Lagi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...